Khamis, 1 April 2010

Jangan marah Melayu tak baca buku

Kita sering terbaca berita
yang mengatakan warga
negara kita ini kurang
membaca. Daripada kajian
dan pukul rata, seorang
warga Malaysia dikatakan
hanya membaca dua muka
surat sahaja untuk satu
tahun - berbanding 40
hingga 50 buah buku
untuk seorang warga
Sweden atau Finland.

Hasilnya, buku-buku yang
dicetak tidak terjual.
Penulis kita agak susah
untuk mencari makan.
Budaya buku dan budaya
ilmu tidak berkembang.
Warga negara kita ini
tidak ambil pot (peduli)
tentang buku dan tulisan.
Jauh sekali mereka hendak
merapati buku-buku
sastera, falsafah atau
budaya, pameran lukisan
atau pementasan teater.

Mengapa ini berlaku?
Apakah warga Malaysia ini,
terutama manusia Melayu,
amat culas dalam hal
baca-membaca dan
berbudaya? Apakah
manusia Melayu ini tidak
ada keingian untuk tahu
apa yang sedang berlaku
di alam sekeliling mereka?
Atau apakah manusia
Melayu ini telah menjadi
begitu mandul
sehinggakan mereka tidak
dapat lagi melihat apa
yang sedang berlaku
terhadap keluarga, anak
dan dirinya sendiri.

Memang betul pada ketika
ini proses pembodohan
orang Melayu sedang
berjalan dengan ligat.
Proses ini tidak akan
berjaya jika para seniman,
para penulis dan para
sasaterawan Melayu
bangun menentang dan
melawan proses
pembodohan ini.

Di sini peranan penulis,
seniman dan sasterawan
cukup penting dalam
memperkasa kembali
fikrah yang selama ini
telah diperbodohkan
melalui budaya yang
disebar luas oleh United
Malays National
Organisation.

Selama lebih 50 tahun
hegemoni budaya United
Malays National
Organistaion telah melakar
dan mengkonstruksi cara
warga Malaysia terutama
manusia Melayu berfikir
dan bergerak. Dengan
bantuan lembaga - seperti
lembaga feudal, lembaga
keagamaan, lembaga
tradisional Melayu
United Malays National
Organisation telah berjaya
memagar dan mengikat
cara manusia Melayu
berfikir dan bergerak.

Apabila kita terbaca berita
yang mengatakan kita
semua ini kurang
membaca, maka kita
menerima hakikat ini
tanpa kita berfikir panjang
atau menimbulkan
pelbagai persoalan. Sikap
ini sikap yang salah - inilah
sikap hasil hegemoni
budaya United Malays
National Organisation.

Budaya ini memalaskan
kita untuk berfikir.
Seharusnya, kita
menimbulkan persoalan
demi persoalan terhadap
kenyataan tadi. Kenapa
agaknya manusia Melayu
tidak suka membaca?

Jika manusia Melayu tidak
mahu atau tidak suka
membaca buku, maka
mari kita selidiki apa
sebenarnya isi buku itu.
Jika manusia Melayu tidak
ingin membaca sebuah
novel, maka mari kita
selidiki apa yang cuba
dipaparkan oleh penulis
dalam novel itu.

Jika manusia Melayu gagal
menghayati sebuah puisi,
maka mari kita lihat dan
selidiki apa isinya puisi itu.
Jika manusia Melayu tidak
menghayati sebuah
lukisan, maka mari kita
selami apa yang telah
dilukis.

Selama lebih 20 tahun ini,
buku-buku daripada
tulisan sasterawan kita,
buku-buku yang cuba
membawa hal ehwal
semasa, buku-buku yang
dikatakan cuba membuka
mata dan hati warga
Malaysia kebanyakannya
bergenre bodek. Puisi,
teater dan sandiwara

yang dipentaskan banyak
juga yang membawa
unsur-unsur budaya
bodek. Budaya bodek ini
telah menjadi salah satu
ciri yang amat penting
dalam proses
pembodohan manusia
Melayu.

Cara untuk memahami
budaya bodek ini
berkembang dan bergerak
cukup senang. Contohnya,
ketika di zaman Islam
Hadhari dahulu, banyak
buku yang ditulis tentang
Islam Hadhari. Banyak
seminar akademik
dianjurkan tentang Islam
Hadhari.

Seorang penulis puisi,
yang bercita-cita ingin
melihat puisinya
diterbitkan dalam akhbar,
tidak dapat tidak akan
melakar Islam Hadhari
sebagai tema puisinya.
Seorang pensyarah yang
ingin membuat kajian
ilmiah pasti akan
membuat kajian tentang
Islam Hadhari.

Tindakan mereka ini untuk
memastikan kajian ini
akan diluluskan oleh
universiti dan akan
mendapat dana. Di sekolah
pula akan ada
pertandingan menulis
karangan dan esei tentang
Islam Hadhari; akan
diadakan pertandingan
berbahas atau berbalas
pantun tentang Islam
Hadhari.

Sebuah pereka seni papan
tanda juga akan
meletakkan logo Islam
Hadhari agar logo ini akan
mendapat kelulusan pihak
yang berkuasa sebelum
disebarkan di tepi-tepi
jalan. Iklan-iklan di akhbar,
radio atau tv juga akan
menayangkan Islam
Hadhari.

Drama tv juga mula
berkisar dengan Islam
Hadhari.

Apabila pencadang Islam
Hadhari ini tidak ada kuasa
lagi, maka semua beralih
kepada slogan 'Satu
Malaysia'. Proses yang
sama akan berulang lagi.
Proses membodek tetap
berlaku. Justeru inilah
caranya hegemoni budaya
bodek bergerak dan
menyerapi jauh dalam
masyarakat kita.

Sebenarnya orang ramai
tahu semua yang
terpampang ini adalah
bodek. Malah si penulis, si
penyair, si pengkaji, si
pembikin teater, si
pencipta lagu, si pereka
semua mereka tahu
bahawa apa yang mereka
buat itu adalah
membodek orang yang
berkuasa ketika itu.